Keadaan menjadi bertambah membimbangkan apabila waris sendiri kurang berminat untuk mempelajari cara membuat kuih tradisi, selain wujudnya sesete­ngah orang yang bertindak menyimpan resipi kerana dianggap rahsia keturunan dan tidak boleh dikongsi dengan orang lain.

Menurut Pengasas Bersama, FriedChillies Media Sdn. Bhd., Ani­za Ahmad Azizuddin, kebimbangan kuih-muih tradisi terus pupus ditelan zaman telah mendorong pihaknya untuk mencari inisiatif bagi mengekalkan makanan tradisional tersebut selain meningkatkan usaha untuk memastikan ia tidak dilupakan oleh generasi muda.

Oleh itu, katanya, FriedChillies dengan kerjasama Yayasan Hasa­nah (Hasanah), sebuah yayasan berasaskan impak milik Khazanah Nasional telah mewujudkan Projek Kuih Warisan Ihsan Hari Depan (KWIH) untuk ‘memelihara dan memulihara’ resipi-resipi warisan merangkumi petua-petua lama yang diamalkan orang dulu-dulu ketika membuat kuih untuk didedahkan kepada generasi akan datang.

Beliau berkata, matlamat utama Projek KWIH adalah untuk mengekalkan resipi-resipi lama tidak kira yang hampir pupus atau jarang dibuat kerana dikatakan pro­ses pembuatannya terlalu re­nyah atau ramuannya sukar ditemui.

“Kami tidak mahu kuih-muih tradisional kita yang sangat sedap semakin hari semakin hilang dibawa arus kemodenan. Jadi, de­ngan adanya projek KWIH ini, kami harap generasi muda akan tahu kuih-muih tradisi nenek moyang mereka dan tahu bagaimana cara untuk memasaknya.

“Sebolehnya, kami akan me­ngekalkan kesempurnaan resipi asli dan petua kuih tradisi setiap negeri melainkan ada bahan-bahan yang digunakan sukar dicari lagi dan perlu diganti dengan bahan baharu yang masih mampu mengekalkan kesedapan kuih tersebut.

“Mengekalkan resipi asal pen­ting kerana ketika ini banyak kuih tradisi yang dijual, rasanya tidak sama seperti yang asli dan ia secara tidak langsung telah mengurangkan minat masyarakat untuk mencari atau membeli kuih tersebut,” katanya.

FriedChillies bekerjasama de­ngan Hasanah membuat kajian dan mencari penggiat-penggiat kuih tanahair, memelihara resipi kuih tradisi, pemetaan makanan dan penghasilan video dan buku kuih tradisi menerusi dana di bawah program seni warisan dan budaya Hasanah.

Aniza berkata, buat permulaan, projek KWIH telah meneroka ne­geri-negeri di pantai barat Semenanjung iaitu Sela­ngor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis bagi menghimpunkan resipi kuih tradisi yang sememangnya dahulu dikenali ramai.

Katanya, untuk fa­sa pertama ini, kira-kira 80 resipi telah dihimpun daripada orang lama atau suri rumah yang masih giat membuat kuih tradisi sebagai sumber pendapatan. Antara resipi kuih tradisi yang berjaya diperoleh adalah seperti Gedung Chak, Pek Ngah, Tepung Torak yang juga dikenali sebagai Kuih Pocong.

Jelasnya, antara kuih tradisi yang hampir pupus dan berjaya dijejaki adalah Bunga Pudak yang kini masih lagi dibuat oleh individu di Sungai Petani, Kedah, selain Tepung Kulit, Karipap Kobis, dan Halwa maskad.

“Sejak Julai lalu, kami telah menggembara dari satu negeri ke satu negeri untuk mencari resipi kuih tradisi. Untuk memudahkan urusan kerja, kami telah merekodkan resipi asal termasuk petua untuk menghasilkan kuih yang asli, selain mengekalkan kemahiran artisan pembuatan kuih tersebut.

“Setiap resipi yang diperoleh, kami akan cuba terlebih dahulu kerana orang dahulu tidak mempunyai sukatan yang tepat. Jadi, kami perlu mencubanya terlebih dahulu dan sebolehnya resipi yang dihasilkan ini mampu diikuti oleh semua golongan walaupun oleh mereka yang tidak pandai membuat kuih,” katanya.

Beliau berkata, semua resipi termasuk video pembuatan kuih itu akan diketengahkan kepada umum melalui laman web Yayasan Hasanah dan FriedChillies juga menerusi laman media sosial seperti Youtube.

Bagaimanapun katanya, resipi atau petua yang dibukukan atau dipaparkan melalui laman web itu tetap tidak memberi makna sekiranya masyarakat khususnya generasi muda tidak berminat untuk mencubanya di rumah.

“Oleh itu, kami merancang untuk menganjurkan bengkel membuat kuih tradisi dan me­ngajar masyarakat terutama generasi muda cara membuat kuih dengan mengekalkan penggunaan bahan dan petua nenek moyang kita.

“Bukan itu sahaja, kami juga ingin membuat pangkalan data untuk memudahkan masyarakat mencari pengusaha yang membuat kuih tradisi ini,” jelasnya.

Aniza berkata, kesedaran da­lam kalangan generasi muda terhadap kuih tradisional akan meningkatkan permintaan terhadap kuih tersebut. Ini secara tidak langsung dapat membantu pengusaha kuih dan golongan B40 untuk mengusahakan kuih di rumah bagi meningkatkan pendapatan keluarga.

Beliau berkata, mungkin terdapat generasi muda yang rindukan kuih tradisi ini, malah tidak kisah untuk membayar mahal jika kuih yang dihidangkan betul-betul sedap. Malangnya, apabila dibeli rasanya tidak sesedap dahulu kerana besar kemungkinan proses pembuatannya tidak lagi dilakukan mengikut aturan dan resipi asal.

“Kami ingin mengubah senario itu. Sebabnya, kuih tradisional adalah warisan artisan kita yang perlu dijaga dan boleh kembali diminati jika dibuat dengan be­tul, sekali gus mendorong ge­nerasi muda untuk menghargai dan meneruskan resipi tersebut,” katanya.