ABDUL GHAFFAR YUSOF
ABDUL GHAFFAR YUSOF 

Menurut Pengurus Besar Kanan Jabatan Perhubungan Awam dan Pengurusan Majlis Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi­ Nasional (PTPTN), Abdul Ghaffar Yusop, kategori yang ditetapkan itu adalah taksiran berasingan dan taksiran bersama.

“Pendeposit berpeluang me­nikmati pelepasan cukai maksimum sehingga RM 6,000 setahun bagi taksiran bersama. Begitu juga dengan taksiran berasingan, mereka bakal menikmati pelepasan cukai maksimum yang sama sehingga RM6,000 seorang.

“Pelepasan cukai bagi SSPN-i dan bahagian simpanan dalam SSPN-i Plus pula dikira berdasarkan jumlah simpanan bersih tahun semasa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Menara PTPTN di sini.

Mengulas mengenai syarat-syarat yang ditetapkan, Abdul Ghaffar berkata, setiap pendeposit harus terdiri daripada ibu bapa, ibu bapa angkat atau penjaga sah di sisi undang-undang selain tujuan membuka akaun adalah untuk manfaat anak mereka.

Bagaimanapun, katanya, pe­lepasan taksiran cukai tersebut tidak terpakai kepada pendeposit yang membuka akaun bagi diri sendiri atau menyimpan untuk diri sendiri.

“Selain itu, had maksimum pelepasan taksiran cukai pendapatan bagi simpanan dan sumbangan takaful ini hanya terhad sebanyak RM12,000 untuk setiap pendeposit.

“Had maksimum ini terbahagi kepada dua iaitu had maksimum sebanyak RM6,000 untuk simpanan dalam SSPN-i Plus bagi sumbangan takaful di bawah kategori pelepasan untuk insurans nyawa dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan had maksimum RM6,000 lagi ke atas jumlah simpanan bersih akaun SSPN-i,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Ghaffar berkata, pendeposit juga berpeluang untuk mendapat perlindungan takaful dan dividen yang kompetitif melalui simpanan SSPN-i Plus.

Selain itu, katanya, PTPTN turut memberikan Insentif Khas Geran Sepadan (GS500) sebanyak RM500 bermula 1 Januari lalu hingga 31 Disember ini bagi akaun yang dibuka untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.

“Kita mengehadkan GS500 kepada 500,000 akaun terawal sahaja. Setakat Oktober lalu, sebanyak 133,049 akaun telah menerima manfaat tersebut membabitkan peruntukan berjumlah RM66.52 juta.

“Orang ramai masih berpeluang untuk mendapatkan GS500 sebelum 31 Disember ini dengan membuka akaun simpanan SSPN sekurang-kurangnya RM500. Kita juga akan memberi insentif percuma RM500 kepada anak kembar yang mendaftar,” katanya.

Abdul Ghaffar menambah, insentif tersebut akan didepositkan ke dalam akaun pelanggan pada penghujung bulan yang sama apabila jumlah simpanan mencecah RM500.

Lebih menarik, katanya, PTPTN turut mengadakan promosi khas kepada pendeposit SSPN dengan program Cabutan Wow! SSPN-i Plus yang menjanjikan hadiah menarik berjumlah RM2 juta.

“Pendeposit hanya perlu menyimpan serendah RM50 bagi melayakkan mereka menyertai cabutan yang menawarkan hadiah utama pakej pelancongan keluarga ke Disneyland Jepun atau umrah bernilai RM23,000 dan wang tunai sebanyak RM3,000,” katanya.

Cabutan WOW! tahunan pula menawarkan hadiah utama wang tunai berjumlah RM100,000.

Sebarang maklumat atau pertanyaan boleh hubungi Careline PTPTN di 03-2193 3000 atau layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau landing page SSPN di www.lovesspn.com serta laman sosial rasmi PTPTN iaitu Facebook, Twitter dan Instagram.