Beliau tidak menafikan pelantikan itu tidak dapat memuaskan hati pelbagai pihak terutamanya yang masih tidak dapat melupakan apa yang dilakukan oleh Abdul Rahim ketika memegang jawatan Ketua Polis Negara sebelum ini.

"Saya tahu ada yang menganggap ini sebagai isu peribadi, tapi kita perlu ingat kerana sekarang kita bercakap mengenai bekas seorang Ketua Polis Negara dan perilaku jenayah (yang melibatkannya).Kita juga perlu mengetahui fakta bahawa ruang harus diberikan kepada Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri untuk menentukan apa yang terbaik.

"Dalam hal ini, ia bukan hanya tentang kes Anwar (insiden mata lebam ketika berada dalam tahanan), sebaliknya, pengajaran yang boleh diambil oleh orang lain (susulan isu berkenaan)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) peringkat Pulau Pinang di sini, hari ini.

Anwar berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan anaknya yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah yang membantah keras pelantikan Abdul Rahim untuk menyandang jawatan berkenaan.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR sebelum ini menerusi catatan di Twitternya menyifatkan Abdul Rahim sebagai penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah.

Abdul Rahim menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim sebagai fasilitator baharu untuk proses pendamaian di selatan Thailand antara kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) khususnya di selatan Thailand.

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar meminta kesemua pimpinan PKR terutama yang terlibat dengan pemilihan kembali ke landasan yang betul serta tidak terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa ketika bertanding.

"Saya hendak tegaskan suasana kita sekarang berbeda dari masa mula-mula kita asaskan parti. Kita sekarang adalah parti pemerintah dan parti terkuat di Parlimen," katanya.

Anwar berkata agenda ekonomi kini perlu berubah dan perlu dipacu pertumbuhannya dengan lebih segar agar dapat membela nasib rakyat, - BERNAMA