Bekas Presiden UIAM Tan Sri Dr Rais Yatim berkata sekiranya Maszlee terus memegang jawatan itu, dikhuatiri pandangan dan keputusan beliau melibatkan kepentingan universiti berkenaan selepas ini akan dianggap berat sebelah.

"Kita bimbang 20 universiti tempatan lain akan mempersoal sekiranya UIAM dapat pandangan menteri, kami bagaimana? Jadi soal berat sebelah walaupun beliau tidak akan melakukannya, tetap akan timbul dan boleh dipertikaikan," katanya kepada Bernama.

Rais turut mempersoal sama ada pelantikan tersebut telah dibincangkan dalam Kabinet dan mendapat kelulusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, terlebih dahulu.

"Kalau belum (dibincangkan) itu satu kealpaan yang harus diatasi kerana Menteri Pendidikan sepatutnya tidak menyertai tahap atau peringkat itu kerana jawatan beliau lebih tinggi. Bagaimanapun biarlah Perdana Menteri menentukan dan ambillah orang yang boleh mengendalikan UIAM ke arah lebih cemerlang," katanya.

Sementara itu, Rais yang juga Pengerusi Yayasan Budi menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan oleh Raja-Raja Melayu kerana membolehkan institusi diraja mendengar pandangan dan cadangan rakyat berhubung isu agama dengan lebih terperinci dan telus.

"Saya positif penubuhan jawatankuasa ini kerana anggota yang mempunyai pelbagai pengalaman boleh menasihati mengenai undang-undang, tradisi dan adat serta menjadi penghubung rakyat kepada raja dengan memberi maklum balas kepada raja masing-masing mengikut kefahaman sepatutnya.

"Tinggal sahaja kepada peringkat diraja bagi menerima gelombang perubahan dan pandangan rakyat untuk membawa perubahan negara ke arah lebih baik," katanya.

Pada 9 Ogos lepas, tujuh anggota jawatankuasa tertinggi itu menerima watikah pelantikan yang dianggotai bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid sebagai Pengerusi; Felo di Oxford Centre for Islamic Studies Datuk Dr Afifi al-Akiti sebagai Timbalan; dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sebagai Setiausaha jawatankuasa berkenaan.


Jawatankuasa itu juga terdiri daripada bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Profesor Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan; bekas Mufti Johor Datuk Nooh Gadot dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Dua wakil tambahan dari Sabah dan Sarawak turut menganggotai jawatankuasa berkenaan - Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Moktar dan Menteri Muda Utiliti Sarawak (Bekalan Elektrik) Dr Abdul Rahman Junaidi.
- BERNAMA