Penasihat kepada Perdana Menteri untuk Program Transformasi Nasional, Datuk Seri Idris Jala berkata, sejak dilaksanakan kira-kira sembilan tahun lalu, pelbagai program yang dilaksanakan di bawah NTP telah memberikan manfaat kepada banyak pihak.

Beliau berkata, antaranya melalui program meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah, penambahan pengangkutan awam dan pembinaan pelbagai kemudahan di kawasan pedalaman.

"Pembinaan tren Transit Aliran Ringan (LRT) antara langkah kerajaan bagi memfokuskan kepada golongan yang setiap hari menggunakan pengangkutan awam untuk bergerak. Sama juga dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Program 1Azam (Akhiri Zaman Miskin) yang memberi fokus kepada golongan memerlukan.

"Malah, untuk tahun ini pihak penarafan antarabangsa seperti Bank Dunia turut menjangkakan pertumbuhan ekonomi terus berkembang pada kadar lima hingga 5.9 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat media berhubung pelancaran laporan Program Transformasi Nasional (NTP) di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Menurut Idris, lebih membanggakan model NTP yang dilaksanakan oleh Malaysia turut mendapat perhatian negara lain seperti Tanzania, Oman, India, Nigeria, Botswana, Senegal dan Rusia untuk digunakan. - UTUSAN ONLINE