Pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia tidak perlu dikawal dan bergantung kepada satu konvensyen antarabangsa yang longgar.

Katanya, negara ini sendiri telah pun memiliki kontrak sosial bertulis yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan dipersetujui bersama oleh pemimpin terdahulu.

“Sebelum ini kita tidak pernah menandatangani konvensyen antarabangsa itu (ICERD) dan ia bukanlah satu perkara yang wajib untuk kita ikuti tambahan lagi Malaysia kini berada dalam keadaan yang cukup selesa.

“Jika kita akur dan bersetuju dengan cadangan itu, kedaulatan negara akan dipersoalkan dan terancam kerana seolah-olah negara bergantung kepada satu konvensyen antarabangsa yang sangat longgar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Ceramah Perdana ‘Wasiat Raja-Raja Melayu’ pada Mesyuarat Agung Tahunan Kelapan, Gagasan Melayu Perak (GMP) di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini dilaporkan berkata, kerajaan memberi jaminan akan mengambil kira pandangan semua kaum sebelum ratifikasi ICERD dimuktamadkan.

Beliau dilaporkan berkata, isu itu amat sensitif kepada setiap kaum yang terdapat di negara ini dan ia bukan mudah dilaksanakan berikutan kewujudan kepelbagaian itu. - UTUSAN ONLINE