Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM), Wan Muhammad Akmal Wan Azman berkata, program gotong-royong 'Ceriakan Pantai Kita - Bersih Di Mata, Tenang Di Hati' itu antara usaha yang sering dilakukan pelajar kolej itu bagi menjaga kebersihan pantai yang menjadi tumpuan ramai.

Wan Muhammad Akmal, 20, yang juga pengarah program itu berkata, aktiviti tersebut juga merupakan sebahagian 'countdown' sempena Festival Unitipreneur 2019 yang akan bermula pada 28 Mac hingga 30 Mac ini.

"Kami sudah biasa buat gotong-royong membersihkan pantai khususnya pantai berdekatan kolej seperti PCB, Pantai Kuda dan Pantai Mek Mas.

"Kami pernah dapat lebih 20 bungkus plastik hitam sampah iaitu 'hasil' kutipan semasa gotong-royong dalam tempoh tidak sampai sejam.

"Kami berharap aktiviti yang kita lakukan dan juga ramai lagi pihak lain kebelakangan ini dapat meningkatkan lagi kesedaran pengunjung supaya sama-sama menjaga kebersihan pantai," katanya kepada Utusan Online di sini.

Wan Muhammad Akmal berkata, pihaknya merancang menjadikan PCB sebagai pantai angkat supaya usaha mengekalkan kebersihannya dapat dipertingkatkan.

Sementara itu, seorang pelajar yang turut mengambil bahagian iaitu Siti Amirah Azami, 20, berkata, dia sudah tiga kali terlibat dalam program gotong-royong anjuran kolej bagi membersihkan pantai termasuk di Bachok.

Siti Amirah yang juga pelajar tahun dua Diploma Pengurusan Industri Halal berkata, dia bagaimanapun merasa sedikit kesal kerana sikap masyarakat yang masih belum berubah.

"Setiap pantai yang saya pergi kotor dengan sampah yang ditinggalkan pengunjung dan peniaga walaupun ada tong sampah disediakan," katanya. - UTUSAN ONLINE