Rektor KUIS, Prof. Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, pengambilan pelajar-pelajar pondok itu sebagai memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk mendalami bidang lain seperti Teknologi Maklumat (IT), Perniagaan dan juga Teknikal supaya mereka setanding dengan pelajar lain.


“Perkara ini telah lama diamalkan di Indonesia, Brunei, Thailand dan negara-negara Asia Barat dengan tujuan memberikan peluang kepada golongan itu yang sememangnya pengajian kitab mereka yang lebih tinggi daripada mahasiswa di universiti cuma pengajian mereka tidak mempunyai sistem yang lebih teratur seperti pembelajaran di universiti tempatan.


“Mereka boleh menjejaki kaki ke universiti melalui platform yang ada supaya mereka diberikan peluang belajar dan diberikan pendedahan dalam bidang lain selain ilmu kitab supaya nilai agama dapat dikembangkan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengajian Islamiyyat Kali ketiga (IRSYAD) di sini, hari ini.


Persidangan yang dianjurkan oleh Fakulti Pengajian Peradaban Islam itu turut menghimpunkan ahli-akademik, ulamak, pembuat dasar dan cendekiawan bagi menangani isu-isu semasa yang berkaitan pengajian Islam.


Dalam majlis sama, KUIS menandatangani memorandum perjanjian (MoU) dengan Universitas Islam As-Syafi’yyah Jakata, Indonesia dan tiga lagi institusi tempatan iaitu Darus Syifa, Yayasan Restu dan Yayasan Dakwah Islamiyah (YADIM) bagi memulakan jaringan antara kedua-dua universiti berkenaan dalam bidang penyelidikan.


MoU itu yang ditandatangani oleh Ab. Halim selaku rektor pusat pengajian tersebut manakala Prof. Dr. Achmad Mubarok pula mewakili Universitas Islam As-Syafi’yyah itu merangkumi pertukaran kakitangan akademik dan pelajar di luar negara dan penyeliaan siswazah.


Manakala tiga lain institusi tempatan pula akan berkongsi kepakaran masing-masing dengan KUIS dalam usaha memperkasakan peranan pengajian Islam dalam pembangunan ummah .


Bercakap dalam sidang akhbar, Ab. Halim berkata, kerjasama itu bertujuan menggalakkan pertukaran akademik antara kedua-dua fakulti dengan mengaplikasikan sistem kredit dan kursus setara di antara pelajar Malaysia dan Indonesia.


“Universiti Islam As-Syafiyyah merupakan antara universiti terbaik dan kerjasama ini diharapkan dapat mendedahkan pelajar dengan proses pembelajaran di luar negara,” katanya.-UTUSAN ONLINE