Nurain Atirah Imran, 18, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Asap berjaya membuktikan anak peneroka Kesedar juga mampu memperolehi kecemerlangan dalam pendidikan.

Menurut Nurain Atirah, dia sentiasa memotivasikan diri untuk belajar bersungguh-sungguh bagi membalas jasa ibu bapanya yang bekerja sebagai peneroka.

"Saya terkejut dengan keputusan ini dan amat bersyukur kerana doa dan usaha saya selama ini dimakbulkan Tuhan.

"Saya mahu membuktikan anak peneroka juga mampu meraih kejayaan biarpun tinggal di kawasan pedalaman," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengetua SMK Sungai Asap, Azuri Hamzah berkata, ganjaran itu diberikan kerana Nurain Atirah mencipta sejarah menjadi pelajar pertama mendapat keputusan cemerlang semua A sejak sekolah itu dibuka hampir 30 tahun lalu.

Katanya, wang sumbangan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu diharapkan dapat meringankan beban pelajarnya itu.

"Kami berharap ganjaran ini menjadi pembakar semangat untuk semua pelajar lain.

"Selain Nurain Atirah, seorang lagi pelajar, Fatin Azfar Athirah Mohd. Fauzi turut mendapat keputusan 8A 1B," katanya. - UTUSAN ONLINE