Baginda yang juga Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, mengimpikan untuk melihat setelah bergraduan nanti, mereka ini boleh menjadi pakar rujuk serta menguasai pelbagai bidang ilmu dan bahasa asing.

“Selain itu, menjadi ahli sains bertaraf ‘Nobel Laureate’ serta sekiranya usahawan pula, biarlah berada di persada peringkat global yang dapat membina negara bangsa.

“Justeru, adalah jelas bahawa cabaran kita (semua pihak) hari ini adalah untuk melahirkan pelajar cemerlang akademik yang kreatif, inovatif dan kompetetif,” titah baginda.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega Peringkat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri 2019 di sekolah berkenaan di sini, hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengetua sekolah itu, Sulaiman Yusof serta Ketua Penyelaras Bersama Program berkenaan, Azuan Mohd. Nasir dan Hakim Khan.

Turut hadir ialah Pengarah Mara Negeri, Lukman Hakim Hassan dan Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd. Darus serta seramai 420 orang pelajar tingkatan satu hingga tiga sekolah tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin Putra seterusnya bertitah, bagi mengatasi masalah tersebut, negara perlu menyediakan para guru yang terlatih bagi memantapkan penguasaan bahasa Inggeris serta memastikan sistem perjumpaan dan prasarana sentiasa cekap, berkesan dan termoden.

“Guru juga perlu sentiasa memastikan prestasi pelajar kekal pada tahap cemerlang, berdaya saing dan global di samping kemudahan infrastruktur yang lengkap bagi tujuan pembelajaran dan keselesaan sepanjang berada di sekolah disediakan.

“Penilaian kendiri, pemantauan dan penstrukturan semula perlu dilakukan bagi memastikan penambahbaikan berterusan berlaku supaya dijadikan penanda aras sebagai institusi pendidikan cemerlang,” titah baginda.

Dalam pada itu, program tersebut adalah anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri.

Bersempena kunjungan ke MRSM Beseri pada kali ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan merasmikan gelanggang petanque sekolah berkenaan. - UTUSAN ONLINE