Muhammad Nur Hafiz Razali, 19 bagaimanapun tidak pernah menyalahkan takdir, sebaliknya bangkit dari kegagalan itu sebelum memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.75 dalam keputusan STPM 2017 yang diumumkan hari ini.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, kegagalan pada penggal pertama dan kedua amat perit kerana terpaksa mengulang semula beberapa mata pelajaran namun dia kuatkan semangat dan berusaha gigih mengatasi kelemahan.

"Saya pernah mendapat PNGK 1.5 pada penggal pertama dan kedua namun saya ambil keputusan untuk memperbaiki keputusan itu. Usaha itu akhirnya terbukti dengan kejayaan hari ini.

"Saya ingin membuktikan bahawa orang kurang upaya juga mampu berjaya jika terus berusaha. Jadikan satu kegagalan untuk terus bangkit dan jangan mudah berputus asa," katanya ketika ditemui pemberita di SMK Kampong Laut, di sini hari ini.

Muhammad Nur Hafiz yang buta mata kanan dan rabun mata kiri berkata, dia sentiasa berada di kerusi hadapan ketika dalam kelas disebabkan oleh masalah penglihatan yang dialaminya.

"Ketika dalam kelas, saya akan mengambil gambar apa yang diajar oleh cikgu apabila saya tidak dapat melihatnya dengan jelas dan akan melakukan ulangkaji apabila pulang ke asrama.

"Saya bersyukur dengan keputusan hari ini dan saya bercita cita untuk menyambung pelajaran dalam bidang perguruan. Saya harap impian untuk menjadi seorang pensyarah akan tercapai satu hari nanti ," ujarnya. - UTUSAN ONLINE