Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, mangsa, Muhd Ridzwan Kepeli, 16, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat mengalami kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama kakaknya dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa telah merempuh sebuah basikal dinaiki seorang lelaki berusia 54 tahun yang tiba-tiba membuat pusingan U.

“Rempuhan kuat mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah pada kepala dan badannya.

“Kakak mangsa bersama penunggang basikal pula hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, mayat mangsa sudah dibawa ke Klinik Kesihatan Belawai untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE