Rasa tidak yakin terhadap diri yang sering membelenggu Noor Ashykin Huda Mustafa, 18, bagaimanapun tidak terus dijadikan bebanan sebaliknya dia bangkit mencabar diri agar meraih kejayaan seperti insan sempurna lain.

Hari ini, ketidaksempurnaan yang dimilikinya itu meletakkan anak kedua daripada tiga beradik itu sama seperti pelajar lain apabila berjaya meraih 2A+, 3A, 1A-, 1B+, 1B dan C+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

“Sejak kecil lagi saya dilahirkan dengan masalah mata di mana mata sebelah kiri saya memang tidak nampak. Kekurangan itu menyebabkan saya perlu menggandakan usaha untuk belajar. Jika kawan-kawan belajar satu atau dua jam sahaja, saya perlu lebih daripada itu.

“Saya akui kadang-kadang saya patah semangat apabila melihat rakan-rakan mudah untuk belajar kerana keadaan mereka tetapi saya mahu banggakan ibu bapa saya, jadi saya tidak boleh terus ikutkan perasaan,” katanya ketika ditemui selepas

Majlis Meraikan Pelajar Cemerlang SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 di Pejabat Pendidikan negeri di sini hari ini.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, tiada sebarang kaedah pembelajaran istimewa yang diamalkannya selain menumpukan perhatian di dalam kelas semasa guru mengajar.

Katanya, dia juga akan memastikan duduk di bahagian hadapan kelas agar dapat lebih fokus dan bertanya kepada rakan-rakan sekiranya tidak memahami sesuatu mata pelajaran.

“Saya tidak mengikuti kelas tambahan tetapi saya akan bangun seawal pukul 4 pagi untuk ulang kaji pelajaran. Saya tidak boleh duduk di belakang sebab saya tidak nampak dan perlu selalu duduk di depan kelas,” katanya. - UTUSAN ONLINE