T. SUBROMANIAM

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk T. Subromaniam berkata, para pelabur berkenaan akan beralih tumpuan ke negara-negara yang sudah lama melaksanakan GST kerana sistem GST adalah merupakan langkah sistem percukaian tersusun, terbaik, adil dan terkehadapan.

Dalam bidang eksport, kata­nya, GST dapat memberi pulangan balik atau hasil kepada perniagaan-perniagaan yang berorientasikan sedemikian.

“Apa yang kita perlu faham, di bawah SST, banyak ketirisan hasil akan berlaku termasuk banyak kegiatan ekonomi bawah tanah akan terus subur. Jadi, saya sebagai bukan orang politik sama sekali tidak akan menyokong kembali penggunaan sistem lama yang hanya mendatangkan ketirisan hasil dan tidak mampu memberi daya saing dari sudut eksport.

“GST amat baik kerana me­ningkatkan eksport seperti mana tahun lalu, pertumbuhan eksport kira-kira 20 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ma­ni­festo Pakatan Harapan diketuai DAP yang antara lainnya menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari jika berjaya menguasai kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sehingga kini, lebih 160 buah negara turut melaksanakan GST termasuk negara-negara maju seperti England, Perancis, Jerman dan Kanada dan GST di Malaysia diperkenalkan sejak 1 April 2015 dengan kadar enam peratus. Di negara ini, barang keperluan asas seperti minyak masak, gula, garam, beras, tepung dan roti tidak dikenakan GST.

Tambah Subromaniam, pihak­nya telah mengkaji pelaksanaan GST sejak tahun 1980-an lagi dengan mengambil kira pelbagai aspek.

Malah, katanya, pelaksanaan sistem cukai itu dapat mengatasi masalah ketirisan cukai daripada perniagaan-perniagaan dijalankan di negara ini.

“Ketirisan berlaku sebab tidak ada check and balance dalam SST. Banyak perniagaan tidak bayar cukai dengan adil melalui SST. GST pula lebih telus dan setiap perniagaan perlu membayar cukai. Takkan kita hendak kembali ke sistem lama yang tidak masuk akal? Hampir satu dunia sudah melaksanakan GST,” ujarnya.

Subromaniam memberitahu, sekarang, kerajaan sudah mempunyai data kutipan dan golo­ngan yang paling tinggi dikenakan GST adalah golongan yang suka berbelanja dan mampu.

Katanya, kerajaan bagaimanapun tidak mengenakan GST untuk makanan asas rakyat yang mengambil kira keperluan golo­ng­an bawahan.

“Jangan politikkan isu GST. Sistem cukai ini untuk kebaikan negara dan masa depan. Rak­yat berpendapatan rendah akan mendapat balik pulangan daripada GST menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia serta pelbagai pemba­ngunan infrastruktur seperti sekolah, klinik, hospital, jalan raya dan sebagainya,” kata beliau.