Najib Tun Razak

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setakat 13 April lalu, rizab antarabangsa Bank Negara mencecah paras AS$110.0 bilion (RM428.725 bilion).

Beliau memberitahu, ini satu lagi bukti keyakinan kepada kedudukan ekonomi negara dan dasar ekonomi kerajaan BN yang berkesan.

“Dalam pembangkang asyik sebar berita palsu mengenai ekonomi negara, (tetapi) pelabur asing dan pengurus dana terus yakin kepada Malaysia dan dasar ekonomi BN.

“Setakat Khamis, aliran ma­suk dana asing ke Bursa Malaysia cecah rekod tertinggi satu tahun, RM429.80 juta!,” katanya menerusi laman Twitter di sini hari ini.

Khamis lalu, aliran masuk dana asing ke Bursa Malaysia mencecah rekod tertinggi satu tahun dengan aliran bersih bernilai RM429.80 juta.

Aliran masuk bersih itu 389.35 peratus lebih tinggi berbanding aliran masuk bersih RM87.83 juta yang dicatat sehari sebelumnya.

Setakat minggu ini, Bursa Malaysia mencatat jumlah aliran masuk bersih RM560.96 juta.

Sungguhpun masih tinggal satu hari untuk mengakhiri minggu ini, aliran masuk bersih mingguan ke Bursa Malaysia sudah di paras tertinggi sejak Februari tahun ini.

Di Asia, Malaysia berada di kedudukan ketiga selepas China dan India menerima kemasukan dana asing setakat tahun ini pada RM3.4 bilion.

Aliran masuk dana asing menolak indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI ke rekod penutup tertinggi 1,895.18 mata kelmarin.