Menterinya, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, hal demikian penting bagi memastikan sasaran kerajaan untuk melihat negara ini mencapai sifar kes malaria menjelang tahun 2020 menjadi kenyataan.

Katanya, meskipun kes malaria di negara ini semakin menurun namun masih terdapat risiko jangkitan semula di kawasan yang diisytiharkan bebas wabak berkenaan disebabkan faktor kemasukkan pekerja asing.

“Pihak majikan perlu bertanggungjawab membekalkan kelambu berubat kepada pekerja mereka untuk melindungi gigitan nyamuk. Bagi mereka yang mengalami gejala malaria, perlu segera menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan.

“Bagi penduduk yang terlibat dengan aktiviti berisiko di hutan seperti memburu dan pembukaan tanah baharu untuk pertanian perlulah mengambil langkah-langkah pencegahan yang dapat melindungi keseluruhan badan daripada gigitan nyamuk,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian sambutan Hari Malaria Sedunia peringkat Kebangsaan 2018 di Felcra Lubuk Sireh di sini hari ini.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Teh Chai Aan dan Pengarah Kesihatan negeri, Zaini Hussin.

Tambah Dzulkefly, bermula tahun 1961, Malaysia telah melaksanakan beberapa program seperti Eradikasi Malaria dan Kawalan Malaria dan hasil daripada perlaksanaannya wabak penyakit itu dapat dikurangkan daripada 250,000 kes setahun kepada 6,650 kes pada 2010.

Katanya, berikutan kejayaan itu, pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyenaraikan Malaysia sebagai sebuah negara untuk mencapai eliminasi malaria menjelang tahun 2020.

“Program eliminasi malaria di Malaysia ditaja sepenuhnya oleh kerajaan yang membelanjakan sebanyak RM160 hingga RM265 juta setahun untuk program berkenaan yang bertujuan mengurangkan masalah kes tersebut.

“Pelan strategik baru ini telah mula memperlihatkan hasil apabila bilangan kes jangkitan malaria telah menurun daripada 3,897 kes pada tahun 2010 kepada hanya 85 kes pada tahun lalu.

Dan sehingga bulan Jun tahun ini, belum ada kes malaria dilaporkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemilihan negeri ini sebagai tuan rumah kepada majlis sambutan Hari Malaria Sedunia peringkat Kebangsaan adalah bagi memberi pengiktirafan kepada Perlis sebagai sebuah negeri yang berjaya mengekalkan sifar kes malaria semenjak 10 tahun lalu, bermula tahun 2008.- UTUSAN ONLINE