Presidennya, Datuk Paduka Zuhairi Ab. Kadir berkata, kewibawaan Al-Sultan Abdullah sememangnya sudah diketahui dengan sifat ramah mesra baginda yang berteraskan prinsip raja dan rakyat berpisah tiada.

"Sebagai rakyat negeri ini, saya dan Peka yakin baginda mampu menjadi Yang di-Pertuan Agong yang baik kerana perjuangan baginda selama ini untuk kesejahteraan, ketenteraman dan keselamatan rakyat.

"Peka memanjatkan doa supaya baginda dikurniakan taufik hidayah riayah dan inayah, dilanjutkan usia, sihat berpanjangan, bertambah iman dan takwa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataannya hari ini berkata, Al-Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari ini.

Lantikan itu diputuskan selepas mesyuarat khas Majlis Raja-raja di Istana Negara hari ini. - UTUSAN ONLINE