Presiden Peka, Datuk Paduka Zuhairi Ab. Kadir berkata, cadangan itu perlu diberi perhatian serius supaya pemegang kad UNCHR yang menggunakan kenderaan di negara ini dapat memohon lesen kenderaan untuk mengurangkan kebimbangan terhadap sebarang kemungkinan tidak diingini berlaku kerana mereka tidak tahu tentang peraturan dan undang-undang jalan raya.

Katanya, pemegang kad itu memerlukan pemahaman tentang undang-undang dan peraturan jalan raya secara mendalam serta menyeluruh selain mempelajari teknik penggunaan kenderaan yang betul supaya tidak membahayakan nyawa pengguna lain.

“Kebanyakan pemegang kad UNCHR telah mahir mengendalikan kenderaan tetapi tidak memahami peraturan dan undang-undang jalan raya. Masalah ini sememangnya menjadi salah satu faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan di negara ini.

“Bagi merealisasikan cadangan ini, saya mengesyorkan supaya Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bekerjasama dengan institut memandu dan mengadakan perbincangan bagi melicinkan pelaksanaan konsep ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zuhairi berkata, setiap pemohon lesen memandu sementara itu wajib menghadiri kursus di institut memandu atau mana-mana tempat yang dipersetujui oleh pihak institut memandu dan JPJ sekali gus memudahkan pihak berkuasa untuk melaksanakan pemantauan dan kawalan terhadap mereka.

“Ia juga termasuklah usaha membabitkan penyelesaian bagi menangani isu pemalsuan lesen memandu dalam kalangan mereka yang menjadi mangsa penipuan selama ini akibat tiada rekod biometrik sekali gus dapat meningkatkan hasil kerajaan.

“Inisiatif ini (pemberian lesen memandu sementara) bakal mewujudkan satu kaedah pengumpulan maklumat pelarian dan pemohon suaka lebih komprehensif untuk memudahkan pihak berkuasa dalam memastikan mereka mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sebelum mereka ditempatkan ke negara lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE