Pengarah Khidmat Aduan Peka, Chan Ling Foo berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dihubungi oleh mangsa bagi memaklumkan kejadian tersebut pukul 2 petang semalam.

“Anggota Peka segera berjumpa dengan mangsa dan akibat kejadian itu wanita berkenaan bengkak di kedua-dua mata, cedera di mulut dan luka di bahagian dagu serta kepala.

“Peka turut membawa mangsa ke klinik bagi mendapatkan rawatan dan selepas itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini,” katanya di sini hari ini.

Ling Foo berkata, wanita berkenaan mendakwa suaminya yang merupakan seorang warganegara Filipina adalah seorang yang panas baran dan penagih dadah.

“Disebabkan itu, wanita berkenaan tidak lagi tinggal bersama suaminya dan pergi berjumpa lelaki tersebut dirumahnya semalam untuk menyerahkan anak mereka,” katanya.

Menurutnya, perbuatan itu tidak berperikemanusiaan kerana memukul wanita bukan cara menyelesaikan masalah.

Jelasnya, Peka sentiasa memantau dan mengambil tahu isu melibatkan kebajikan serta hak kemanusiaan ahlinya. - UTUSAN ONLINE