Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, pejabat SUK itu mempunyai sebanyak 31 notis kesalahan lalulintas /saman membabitkan tunggakan berjumlah RM5,400.

Lima lagi jabatan atau agensi adalah Jabatan Mufti negeri dengan bilangan notis kesalahan lalulintas/saman terbanyak iaitu 46 berjumlah RM9,450; diikuti Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Manjung sebanyak 41 saman (RM9,090); PDT Selama sebanyak 33 saman (RM7,170) serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa yang mempunyai 25 saman (RM5,050).

“Punca berlaku saman tertunggak antaranya adalah surat peringatan tidak dikeluarkan oleh

ketua jabatan kepada pemandu/pegawai pengguna (kenderaan) berkenaan.

“...atau pemandu/pegawai pengguna (kenderaan) tidak dapat dikesan dan tiada tindakan pemantauan diambil oleh jabatan bagi menyelesaikan kes saman tertunggak tersebut,” demikian menurut laporan itu yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Menurut laporan itu, Pekeliling Perbendaharaan Malaysia menyatakan ketua jabatan hendaklah memberi peringatan bertulis kepada pemandu/pegawai pengguna bagi menyelesaikan saman tertunggak.

“Sekiranya pemandu/pegawai pengguna tidak menyelesaikan saman tertunggak setelah diberi peringatan bertulis dalam tempoh sebulan, tindakan seterusnya seperti potongan gaji hendaklah dilaksanakan,” kata laporan itu.

Dalam perkembangan lain, laporan itu menyatakan bahawa Pusat Perubatan Ar-Ridzuan (PPAR) di sini kendalian Kumpulan Perubatan Ar-Ridzuan (KPAR) belum boleh diiktiraf sebagai 100 peratus Hospital Mesra Ibadah (HMI).

Menurut laporan itu, KPAR yang merupakan subsidiari kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) tidak melaksanakan kesemua 13 amalan HMI dalam Garis Panduan Pelaksanaan Program Hospital Mesra Ibadah di PPAR.

“Hanya enam yang diamalkan di PPAR iaitu rujukan kepada mufti bagi hal berkaitan permasalahan agama; perjawatan khas pegawai agama diwujudkan; peralatan ibadah disediakan serta pengasingan bilik rawatan untuk lelaki dan perempuan; bacaan doa seawal pukul 8 pagi setiap hari dan doktor/jururawat/kakitangan bertugas menutup aurat atau berpakaian sopan,” menurut laporan itu.

Tambah laporan itu, setakat 31 Dis lalu, pihak KPAR belum membuat sebarang permohonan kepada SIRIM untuk pemeriksaan aspek sistem pengurusan, kualiti serta keperluan berdasarkan perspektif Islam untuk membolehkan PPAR diiktiraf sebuah hospital 10 peratus patuh syariah. - BERNAMA