Beliau yang enggan mendedahkan dengan lebih lanjut berkata, bukti baharu itu yang mampu menggegarkan semula siasatan kes tersebut menjurus ke arah motif pembunuhan model tersebut.

“Buat masa ini saya tidak boleh memperincikan mengenai personaliti yang berkemungkinan terlibat dalam siasatan ini namun, cukup saya katakan bahawa petunjuk baharu ini sudah cukup untuk membuka semula siasatan kes pembunuhan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Setev Shaariibuu bagi mengadakan pertemuan bersama Peguam Negara, Tommy Thomas di Jabatan Peguam Negara di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan tersebut, Ramkarpal berkata, pihaknya optimistik kes pembunuhan yang telah berlaku 12 tahun lalu akan dibuka semula berdasarkan petunjuk baharu yang diperoleh.

“Dalam pertemuan tadi Peguam Negara telah memaklumkan bahawa beliau sendiri telah menyemak semula kes berkenaan dan tahu apa yang telah berlaku.

“Oleh itu, saya yakin bahawa kami dapat meneruskan kes ini dengan positif dan mempunyai peluang yang cerah untuk membuktikannya,” katanya. - UTUSAN ONLINE