Pegawai Turus D9 (Siasatan Khas), Superintenden Nasri Mansor, 40, dari Ibu pejabat Po­lis Kontinjen (IPK) Selangor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, keengganannya adalah dise­babkan dia pernah me­ngalami kesan sampingan selama se­minggu selepas me­nyentuh pakai­an itu.

“Yang Arif, saya takut nak buka sebab sebelum ini saya dah pegang masa rampasan dan saya tak pakai sarung tangan dan saya mengalami kesan sampi­ngan selama seminggu,” ujarnya.

Saksi pendakwaan ke-16 itu juga kelihatan tersentak apabila peguam, Gooi Soon Seng hendak meletakkan sehelai skaf putih milik tertuduh warga Indonesia itu di hadapannya untuk pengecaman menyebabkan lelaki itu cepat-cepat berkata: “Letak di situ!” sambil menunjuk ke arah meja bahan bukti.

Saksi itu memberi reaksi tersebut dalam perbicaraan terhadap Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, yang didakwa membunuh Jong-nam, 45, bersama-sama empat individu yang masih bebas di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Perbicaraan yang masuk hari ke-18 hari ini melibatkan pertuduhan mengikut Sek­syen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit ke­salahan.

Terdahulu, Soong Seng yang mewakili Siti Aisyah meminta Nasri untuk membuka bungkusan pakaian itu dan menunjukkan tandaan yang dibuat oleh saksi berkenaan pada kemeja T itu sewaktu rampasan di bilik penginapan wanita itu di nombor 356, Hotel Flamingo, Ampang dekat sini, kita-kira pukul 2.15 pagi, 16 Februari lalu.

Saksi berkenaan sewaktu peme­rik­sa­an utama oleh Pe­ngarah Pendakwaan Negeri Se­langor, Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan selain baju dan skaf berkenaan, turut dirampas ialah cermin mata jenama Rayban dan beg tangan Louis Vuitton, dua telefon bimbit masing-masing jenama Oppo dan iPhone 6, dan wang tunai berjumlah AS$300 (RM1,254).

Nasri turut memberitahu, ketika dia dan pasukannya mema­suki bilik penginapan tertuduh, wanita itu sedang berbaring di atas katil de­ngan pintu tidak berkunci dan sedikit terbuka.

‘Permintaan’ untuk membuka bungkusan pakaian itu oleh peguam tersebut turut menyebabkan berlaku sedikit kekalutan dalam kalangan mereka yang terlibat sehingga mengakibatkan Hakim Datuk Azmi Ariffin terpaksa menenangkan keadaan.

“Boleh buka kalau tidak mendatangkan kemudaratan. Saya juga boleh tangguhkan sebentar prosiding untuk peguam buka dan tengok. Kalau sesiapa nak pakai penutup hidung dan mulut, boleh pakai tetapi saya kena pakai,” kata­nya yang disambut gelak tawa mereka yang hadir.

Pada ketika itu, turut kelihatan beberapa individu di galeri awam memilih untuk keluar dari dewan mahkamah terma­suk seorang wartawan yang sedang mengandung sebelum barang kes itu dibuka.

Pada prosiding terdahulu, pakar dalam bidang agen saraf VX di negara ini, Dr. S. Raja menasihatkan agar bungkus­an berisi pakaian Siti Aisyah dan Thi Huong tidak dibuka di mahkamah atau di tempat terbuka memandangkan racun yang terdapat pada pakaian ke­dua-dua tertuduh masih dalam keadaan aktif sifatnya.

Perbicaraan bersambung esok.