Usahawan, Mohamad Fadhli Ab Rashid, 40, berkata, mereka masuk ke Myammar sejak Jumaat lalu dan berbeza dengan pengalaman di Thailand, jadual perjalanan mereka dirancang serta ditentukan seorang ejen kerana ia merupakan syarat di negara itu.

Mohamad Fadhli berkata, sepanjang lima hari di Myanmar, dia bersama dua 'otai' iaitu pesara, Diami Yusoff, 60 dan mekanik, Mohamad Zalani Zulkifli,64, diiringi tiga lagi rakan penunggang iaitu Paul Wong, 49, dan Raymond Chai, 50 dari Kuala Lumpur dan seorang penunggang Nepal yang dikenali dengan nama Abhi, 31.

"Kami berenam dibantu Zawmin Tun iaitu ejen yang kami bayar untuk menguruskan perjalanan sepanjang di Myanmar sehinggalah kami keluar ke sempadan India, lagi ramai peserta dia ambil maka caj satu kepala lebih murah.

"Raymond, Paul dan Abhi semuanya pakai motosikal berkuasa besar, jadi setiap hari walaupun kami bertolak waktu yang sama pada pukul 8.30 pagi, kami ketinggalan di belakang kerana mereka boleh meluncur laju.

"Boleh dikatakan 60 peratus jalan yang kami lalui di Myanmar adalah tidak elok, kebanyakannya berdebu dan berlubang kerana masih dalam pembinaan, kami lihat ramai wanita yang menjadi pekerja menurap jalan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Fadhli berkata, antara pengamatan awal adalah budaya berkain pelikat di Myanmar bukan sahaja diamalkan orang awam bahkan pegawai imigresen yang menyambut mereka di pintu imigresen juga bekerja dengan hanya memakai kain pelikat.

Jelasnya, mereka menunggang motosikal kapcai dengan jarak antara 60 hingga 80 kilometer pada setiap perjalanan sebelum berhenti untuk mengisi minyak dan berehat sebentar.

"Ejen atau pembantunya memantau kami dengan van dan jika kami lambat dia akan menunggu di 'check point', sebelah malam kami akan tidur di hotel ditetapkan.

"Walaupun sudah berumur, saya tabik dengan stamina Abe Mat dan Abe Lani yang masih kental sedangkan saya sudah mula rasa sakit pinggang," katanya.

Mohamad Fadhli memberitahu, mereka bertolak dari bandar Naypyidaw yang terletak di tengah negara Myanmar pukul 8.30 pagi inibdan dijangka tiba di Bagan pada pukul 5.30 petang ini

Ketiga-tiga lelaki dari Kelantan ini dalam misi pengembaraan sejauh 14,000 kilometer yang memakan masa dua bulan sebelum mencapai sasaran menunaikan ibadat umrah di Mekah awal tahun hadapan. - UTUSAN ONLINE