Perkara itu perlu diberi perhatian apabila terdapat segelintir individu melemparkan dakwaan dalam media sosial bahawa beberapa unit dalam PDRM antaranya Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan Pasukan Tindakan Khas AntiMaksiat, Judi dan Gangsterisme (Stagg) adalah ‘lubuk emas’ sekali gus mencemarkan imej PDRM.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak berkata, PDRM perlu mengkaji lebih mendalam cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) agar satu badan pengawasan dan pemantauan yang lebih efektif dapat diwujudkan.

“Walaupun terdapat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) di bawah organisasi tersebut, jabatan itu dilihat gagal membuat pemantauan dan bertindak sebagai ‘second layer checker’ dengan berkesan.

“Mereka juga gagal mengambil tindakan tegas dan setimpal terhadap pihak-pihak yang terbabit, termasuklah mana-mana pegawai polis menjadi ‘gunting dalam lipatan’ dan bersekongkol dengan ahli-ahli sindiket termasuklah beberapa kes melibatkan mereka yang berprofil tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, warga PDRM sepatutnya bebas daripada sebarang elemen negatif yang merosakkan dan pemantapan nilai integriti wajib kekal sebagai salah satu fokus yang perlu dititikberatkan serta harus dimulakan dari peringkat atasan sehingga peringkat bawahan.-UTUSAN ONLINE