Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, satu pertemuan telah diadakan antara beliau bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor selama sejam di Putrajaya hari ini.

“Dalam perbincangan itu, kita telah membuat ketetapan iaitu proses peralihan kuasa perlu dibuat dengan lancar dan teratur.

“Keduanya, peralihan kuasa ini perlu disegerakan di peringkat pusat, negeri dan tidak boleh dilengahkan bagi mengelak sebarang spekulasi dan menjejaskan ketenteraman awam serta kese­lamatan negara.

“Kita juga telah membuat ketetapan bahawa proses ini perlu mengikut undang-undang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Yang turut hadir dalam sidang akhbar itu timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Mohamad Fuzi menambah, hasil daripada ketetapan itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam masa terdekat bagi membincangkan proses peralihan kuasa.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi juga menjelaskan pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung panggilan spam yang diterima oleh pemimpin negara sejak semalam.

“Siasatan berhubung kes itu masih dalam siasatan melibatkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” jelasnya.

Ditanya mengenai kekecohan di Putrajaya semalam, Mohamad Fuzi memberitahu, tiada kejadian serius berlaku kecuali satu insiden melepaskan mercun pasca PRU-14.

“Terdapat orang ramai yang berkumpul di Putrajaya membawa mercun seolah-olah me­raikan (satu) perayaan. Polis te­lah mengambil tindakan dengan menyuraikan insiden berkenaan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” ujarnya.