Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, statistik menunjukkan seramai 170,000 orang etnik tersebut berada di negara ini di bawah perlindungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tegas beliau, jumlah yang ramai itu boleh mengancam keselamatan negara jika tindakan tegas tidak diambil segera terhadap mana-mana etnik tersebut yang menyokong sebarang aktiviti keganasan meskipun disasarkan di negara mereka.

“Berdasarkan maklumat dan risikan kita, kumpulan kecil etnik Rohingya yang setakat ini kurang 10 orang ditangkap (PDRM), didapati terlibat mengumpul dana untuk menyokong kumpulan pengganas Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (ARSA) di Myanmar.

“Malah ada seorang suspek yang ditangkap melakukan ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri Bangladesh dan ini adalah sesuatu yang serius,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Aziz 2019 di Kuala Kangkong di sini, hari ini.

Kelmarin, PDRM memaklumkan telah menahan seramai empat orang lelaki termasuk seorang individu yang dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas menerusi operasi di Selangor dan Kedah, antara 14 Jun hingga 3 Julai lalu.

Kesemua mereka yang ditahan terdiri dua lelaki etnik Rohingya dan masing-masing seorang dan warganegara Filipina dan India.

Menurut Ayob Khan, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pelarian yang berlindung di negara ini tetapi pada masa sama terlibat dalam mana-mana kumpulan atau aktiviti keganasan dan menyalahi undang-undang.

“Kita tidak mahu Malaysia dijadikan pangkalan atau tempat mereka mengumpulkan dana, apatah lagi ada antara etnik Rohingya di sini, yang menjadi ahli perniagaan berjaya atau kontraktor,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ayob Khan memberitahu, pihaknya masih dalam proses mengadakan rundingan dan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk membawa balik seramai 39 orang rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa di Syria.

Katanya, mereka yang ditahan termasuk wanita dan kanak-kanak berada di bawah jagaan kem pelarian dan penjara.

“Namun keputusan membawa pulang untuk dituduh di mahkamah negara kita (lelaki dewasa sahaja) bergantung kepada kerajaan kerana melibatkan kos dan urusan dua negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE