Warga emas itu, sudah berkira-kira hasil tanaman itu nanti yang dianggarkan bernilai RM18,000 cukup untuk menampung perjalanan mereka di samping merealisasikan harapan cucunya yang begitu teringin menjejak kaki ke tanah suci itu.

Bagaimanapun hasrat Abdul Hamid itu tidak kesampai­an apabila seluruh ta­namannya musnah sama sekali berikutan masalah padi angin dan lebih malang dia juga mengalami kerugian lebih RM6,000 melibatkan modal awal ketika proses tanaman sebelum ini.

Selain Abdul Hamid, kira-kira 3,000 pesawah lain di kawasan Simpang Empat juga berdepan dengan masalah sama dan mengalami kerugian ratusan ribu ringgit untuk musim ketiga berturut-turut.

Katanya, dia cukup kecewa apabila sekali lagi tidak dapat menuai hasil akibat masalah padi angin.

“Sepatutnya duit padi itu nanti akan digunakan untuk membawa isteri dan cucu ke Mekah pada bulan depan namun hasrat tersebut terpaksa ditunda.

“Cucu saya yang berusia 10 tahun itu begitu teringin hendak menziarahi tanah suci Mekah. Saya berharap pihak bertanggungjawab mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah padi angin yang berulang setiap tahun.

“Kita sudah tanam padi mengikut segala prosedur dan menggunakan baja, benih, racun yang disediakan Lembaga Pertanian Muda namun masalah sama tetap berulang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi pesawah, Rosli Sirun, 66, berkata, dia yang mengusahakan tanaman padi miliknya seluas 1.5 hektar terpaksa menerima hakikat apabila ke­seluruhan tanamannya musnah pada tahun ini.

“Sekurang-kurangnya kalau dapat duit padi nanti boleh digunakan untuk menukar bumbung rumah yang telah rosak. Nampak­nya hasrat itu perlu ditangguhkan dahulu,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Pertubuhan Peladang Simpang Empat, Arof Saad meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyalurkan bantuan kepada petani yang terlibat dengan musibah padi angin.

“Kebanyakan mereka menanggung kerugian besar malah ada dalam kalangan pesawah juga langsung tidak memperoleh hasil. Kita juga minta pihak bertanggungjawab membuat kajian dan mencari jalan menyelesaikan masalah pada angin,” katanya.