Ketika mengingatkan tentang keluhuran undang-undang yang merupakan satu daripada Rukun Negara, beliau berkata, ketidakpatuhan terhadap undang-undang boleh menyebabkan huru-hara dan menyukarkan proses pemulihan.

"Setiap satu perbuatan kita perlu mengikut undang-undang dan peraturan. Bagi Perdana Menteri atau raja, menteri atau pegawai pentadbir atau polis, tentera, segala tindakan perlu mengikut peraturan-peraturan. Jika tidak mengikut peraturan, maka akan berlaku huru-hara dalam negara kita.

"Ini amat penting sekali ke­rana kita sedang cuba memulih­kan kerajaan pemerintah di dalam negara ini. Jika tidak berpandukan kepada undang-undang, maka pemulihan negara tidak akan berlaku,’’ katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan memerlukan undang-undang yang luhur dan mulia, serta yang menjunjung keadilan undang-undang yang tidak menekankan atau mengetepikan mana-mana pihak.

Menurut Dr. Mahathir, tidak ada mana-mana pihak yang boleh membuat sesuka hati atau apa sahaja kerana berkuasa walaupun di peringkat raja mahupun pemerintah.

Tambah beliau, bangsa bertamadun menerima undang-undang dan peraturan untuk kelangsungan hidup dan pembangunan bangsa.

"Kita tahu kita adalah satu bangsa bertamadun. Orang yang bertamadun, tidak bergerak tanpa peraturan dan undang-undang. Jika kita tidak iktiraf peraturan atau undang-undang, maka kita tidak boleh mendakwa kita bangsa bertamadun,’’ katanya.