Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, enam stesen terlibat adalah Taman Mutiara, Batu 11 Cheras, Bukit Bintang, Maluri, Kajang dan Taman Pertama.

Katanya, petugas khas terlibat terdiri daripada polis bantuan Prasarana yang berperanan melakukan pemantauan di stesen MRT itu dengan berpakaian biasa.

"Apa yang berlaku di Taman Mutiara Cheras baru-baru ini telah dibincangkan di dalam Mesyuarat Kabinet hari ini apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meminta kementerian meningkatkan aspek keselamatan di semua 115 stesen MRT.

"Selain kewujudan pasukan petugas khas ini, pihak Prasarana akan meningkatkan aspek keselamatan lain antaranya melaksanakan khidmat pengiring dan menambahbaik lampu di tempat pakir kenderaan serta kamera litar tertutup (CCTV)," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Pada minggu lalu, seorang wanita berusia 48 tahun cedera dibelasah oleh seorang lelaki sebelum menyamun mangsa di sebuah lif di MRT Taman Mutiara, Cheras.

Suspek melarikan dompet mangsa yang mengandungi kad pengenalan, kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan wang tunai berjumlah RM400.

Sementara itu, Anthony memaklumkan, pihak kerajaan telah memberi keutamaan untuk menambahbaik aspek pengangkutan di bandar Semenyih pada sebelum ini.

Katanya, walaupun wujudnya rungutan berhubung capaian bas perantara dalam kalangan penduduk di bandar terlibat, pihaknya sedang berusaha meningkatkan bilangan pengangkutan itu di kawasan terlibat.

"Kementerian memang ada perancangan menambah bas dan kita bukan buat semata-mata ada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akan berlangsung," katanya. - UTUSAN ONLINE