Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh tidak menafikan gejala negatif itu boleh berlaku di universiti awam dan swasta kerana pelbagai cara mampu mempengaruhi golongan mahasiswa.

“Kemungkinan sentiasa ada, kita tak boleh nafikan ianya boleh berlaku. Sebab itu kita minta pensyarah-pensyarah dan naib-naib canselor supaya bersiap sedia.

“KPT di bawah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan Ketua Setiausaha sentiasa memantau kegiatan ini. Kita juga bekerjasama dengan pihak keselamatan jika ada kes-kes dilaporkan kita akan cuba tangani lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Lestari Advance Technology Sdn. Bhd. (LATSB) di sini, semalam.

MoU tersebut bertujuan membangun dan mengkomersialkan produk teknologi membran bagi sistem penyahgaraman air laut untuk kegunaan komuniti dan industri.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir; Pengarah Urusan LATSB, Joahari Abu Bakar dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Idris berkata, KPT juga me­ngadakan perjumpaan dengan pihak universiti untuk beri pe­nerangan supaya sentiasa bersedia menghadapi isu-isu ber­kenaan supaya gejala ini tidak berlaku.

Sementara itu, beliau yakin UTM akan menduduki tangga ke-200 universiti terbaik dunia dalam tempoh dua tahun lagi berdasarkan pencapaian dan kecemerlangannya yang ketika ini berada pada tempat ke-263 universiti terbaik dunia.

Menurutnya, terbaharu UTM menjadi tuan rumah selama tiga hari bermula kelmarin untuk University Presidents Forum (UPF) melibatkan 54 universiti dari 19 negara.