Perdana Menteri berkata, kesemua atlet tersebut kini telah sampai kepada detik yang mana, mereka perlu menterjemahkan segala pengorbanan serta penat lelah mereka selama ini demi persembahan yang terbaik.

Beliau berkata, rakyat Malaysia hanya mampu berdoa dan memberi sokongan sedaya mungkin kepada atlet berkenaan tetapi yang menentukan kejayaan memperoleh kilauan pingat emas ialah atlet-altet itu sendiri.

“Kita telah melihat kejayaan-kejayaan negara dalam dimensi-dimensi baharu termasuk perlancaran kemudahan-kemudahan bertaraf dunia seperti Transit Aliran Massa (MRT), Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Saya juga telah melawat Kompleks Sukan Bukit Jalil sebanyak dua kali dan saya akui kemudahan di sana dan venue-venue lain boleh diiktiraf bertaraf dunia. Oleh itu, kita hendak melihat pula persembahan bertaraf dunia oleh atlet negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kepada Kontijen Malaysia Ke Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Kontinjen negara telah menerima Jalur Gemilang dari Najib sebagai simbolik kesediaan merangkul kejuaraan keseluruhan pada KL 2017 bermula 19 Ogos depan. - UTUSAN ONLINE