Malah pasangan kembar berusia 19 tahun dari Alor Setar, Kedah itu juga sentiasa bersaing dalam pelajaran sehingga berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM).

Namun anak ketiga dan keempat kepada pasangan Mohamad Kamis Abdul Hamid dan Saadah Abdul Hamid itu kini agak janggal apabila mereka akhirnya terpaksa memilih haluan sendiri apabila dipilih mengikuti jurusan berbeza.

Nurulhuda akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Farmasi manakala adiknya akan memulakan pengajian sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) untuk sidang akademik 2018/2019.

Menurut Nurulhuda, dia kini masih belum memikirkan bagaimana untuk mendepani hari-hari mendatang tanpa adiknya biarpun mereka masih bersama sebagai siswi di USM.

“Memang sejak kecil kami berdua tak pernah berpisah malah kami berkongsi segala-galanya bersama dan berjaya melangkah kaki ke USM bersama-sama tetapi sedih kerana terpisah jurusan.

“Apa pun kami akan saling membantu antara satu sama lain dan akan menjanjikan kejayaan kepada ibu bapa kami,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Siswa di sini hari ini.

Sebanyak lapan pasangan kembar termasuk dua dari China menarik perhatian ramai pada majlis itu yang me­rupakan sebahagian daripada 4,615 pelajar baharu USM tahun ini.

Seramai 3,221 pelajar akan mengikuti pengajian di kampus induk di sini manakala 768 lagi akan berada di Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal dan baki 626 lagi berada di Kampus Kesihatan di Kubang Kerian, Kelantan.

Selain Nurulhuda dan Nurulizzah, terdapat tujuh lagi pasangan kembar iaitu Noor Farah dan Noor Sarah Ramlan yang mengambil jurusan Sains Gunaan (Biologi); Tan Si Hwa dan Tan Si Jie (Teknologi Industri-Makanan) dan S. Roshini dan S. Rohini (Perakaunan dan Pengurusan).

Pasangan lain adalah M. Sharan Raj dan M. Shaarvin Raj (Sains Gunaan-Matematik); J. Kalaivahnny dan J. Kaalaiveyhny (Perakaunan) selain dua pasangan kembar dari China iaitu Tian Yujia dan Tian Yuxin (Bahasa Inggeris Untuk Profesional) serta Li Shi Ying dan Li Shi Yun (Sains Komputer dan Bahasa Inggeris Untuk Profesional).

Sementara itu terdapat juga pasangan adik-beradik iaitu Faizatul Akmal, 31, dan kakaknya, Farihah Abdullah, 36, yang mengambil jurusan Seni Halus (Lakonan dan Pe­ngarahan).

Jelas Faizatul Akmal, biarpun telah memiliki diploma dalam kejuruteraan mekanikal dan kakaknya dalam bidang teknologi maklumat namun mereka berdua amat meminati bidang seni dan sebelum ini berkecimpung dalam bidang seni.

“Disebabkan minat mendalam dengan seni, kami sepakat untuk menjadi pelajar sepenuh masa di USM dan impikan segulung ijazah dalam bidang yang kami minati dan itulah sebabnya kami ambil jurusan ini,” ujarnya.