Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, pihaknya juga konsisten menyokong penuh sebarang usaha mengangkat dan memartabatkan tulisan itu.

Menurutnya, pengenalan tulisan Jawi dan khat merupakan satu tindakan tepat bagi memupuk rasa kebersamaan serta memelihara jati diri bangsa yang terdiri daripada masyarakat majmuk.

“Umum mengetahui bahawa bahasa dan tulisan itu mampu mengikat ikatan perpaduan dan keharmonian sesebuah negara berbilang bangsa.

“Dalam hal ini, Pas menolak sifat perkauman melulu, ekstrim dan fanatik yang berpotensi mewujudkan persekitaran tidak selesa akibat kedegilan mereka yang mempertikai dan mengapi-apikan pengenalan subjek itu,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir secara terbuka menyifatkan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan apa jua keputusan kerajaan termasuk isu tulisan Jawi.

Ujar Ahmad Fakhruddin lagi, Pas turut kesal apabila terdapat dalam kalangan pemimpin DAP yang tidak peka dan cuba merendah-rendahkan seni tulisan Jawi dengan mengaitkannya dengan tulisan lucah dan sebagainya.

Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri berharap, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tegas dengan keputusan awal tersebut supaya tidak dilihat bersandiwara atau 'test market' dalam menangani hal ini serta tidak membuat 'U-Turn' di pusingan terakhir. - UTUSAN ONLINE