Pesuruhjaya Pas negeri, Kama­ruddin Sedik berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan Ketua Menteri, Adly Zahari baru-baru ini yang mengiktiraf sijil tersebut sedangkan beliau (Adly) tidak memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan atau desakan daripada pihak mana.

“Saya terkejut dengan sikap ke­tua menteri (Adly). Saya ingin bertanya, beliau membuat ke­nyataan ini iaitu mengiktiraf UEC selepas beliau merujuk kepada siapa? Saya juga tidak tahu sebelum membuat keputusan ini, beliau mendapat nasihat daripada siapa.

“Pas Melaka menyifatkan langkah kerajaan negeri mengiktiraf UEC sebagai tidak bertamadun dan saya percaya beliau (Adly) didalangi oleh parti-parti tertentu yang mendominasi kerajaan negeri dalam membuat keputusan ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas menge­tuai kira-kira 200 umat Islam membantah pengiktirafan UEC oleh kerajaan negeri di pekarangan Masjid Al-Azim selepas solat Jumaat di sini, hari ini.

Isnin lalu, Adly meng­umumkan pengambilan lulusan UEC akan dilaksanakan sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri kerana ia adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perhimpunan aman selama kira-kira 30 minit itu disertai beberapa pertubuhan kerajaan antaranya Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Melaka yang mendesak kerajaan negeri segera membatalkan pengiktirafan sijil peperiksaan itu berikutan bertentangan de­ngan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Menurut Kamaruddin, UEC akan meragut keistimewaan hak-hak orang Melayu walaupun ia diiktiraf oleh kerajaan negeri kerana akan mewujudkan jurang perbezaan dalam sistem pendidikan negara.

Katanya, dasar pendidikan negara sedia ada ketika ini sudah cukup baik dan sekiranya UEC diterima pakai, ia akan lebih memberi keuta­maan kepada bahasa Mandarin dan yakin sistem tersebut juga tidak akan diterima di mana-mana negara lain.

“Kesan jangka panjang, kita boleh lihat sebagai contoh Peguam Negara sendiri tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu dan adakah ini yang kita mahu? Alasan yang diberikan ketua menteri (Adly), Pulau Pinang dan Perak turut melaksanakan UEC, saya ingin memaklumkan bahawa di Melaka daripada hampir 900,000 penduduk, 65 peratus adalah Melayu Islam dan kaum Tionghoa hanya mewakili 25 peratus.

“Himpunan ini bukan berunsur perkauman di mana kami bukan mempersoalkan kaum Cina tetapi sebagai kaum minoriti di negeri ini, mereka juga harus hormat kepada hak-hak kaum Melayu,” katanya.