Justeru itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru semua pihak terutama parti politik, gerakan badan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan Islam di negara berkenaan sentiasa menghormati undang-undang dan prinsip demokrasi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, langkah itu penting supaya ketenteraman awam dapat dipulihkan kembali dengan secepat mungkin.

“Pas juga menyarankan agar segala dakwaan berlaku penipuan di sepanjang berlangsungnya PEMILU 2019 itu segera disiasat.

“Malah mereka yang terbabit perlu dihadap ke muka pengadilan bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap ketelusan sistem demokrasi dan proses pilihan raya di Indonesia,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu dalam akaun Facebook miliknya semalam.

Abdul Hadi menarik perhatian, paling mustahak adalah semua pihak perlu berwaspada agar tidak terperangkap dengan provokasi musuh yang cuba ‘menangguk di air keruh’.

Pada masa sama jelas beliau, semua pihak juga perlu mengambil langkah menghentikan fitnah dan penindasan terhadap pihak-pihak yang memperjuangkan Islam.

Abdul Hadi seterusnya mengajak seluruh umat Islam berdoa supaya pergolakan yang berlaku di negara jiran itu diselesaikan dengan semangat persaudaraan serta keharmonian demi kestabilan di Indonesia. - UTUSAN ONLINE