IBRAHIM ALI

Tindakan pihak tersebut yang menuntut agar sistem kuota bagi kemasukan ke program matrikulasi dihapuskan dengan menggunakan alasan hak sama rata terhadap semua kaum nyata dilihat bertentangan dengan keistimewaan terhadap kaum Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu nyata mencetuskan kemarahan ramai pihak seperti ahli akademik, ahli politik, tokoh pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik khususnya Parti Bumiputera Perkasa (Putra) yang lantang menentang desakan pihak berkenaan.

Berikut adalah kenyataan penuh Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali:

Program matrikulasi adalah peluang bagi anak-anak Melayu dan bumiputera dalam bidang pendidikan. Walau apa sekali pun mereka perlu diberi tempat belajar sekiranya layak untuk meneruskan pengajian tanpa ada sebarang batasan kerana ia adalah hak istimewa kaum Melayu dan bumiputera seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Keistimewaan ini adalah hak semua kaum Melayu dan bumiputera termasuk Sabah dan Sarawak. Antara perkara asas di dalam perkara ini adalah biasiswa dan hak untuk mendapatkan pelajaran yang mana prinsipnya tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak. Tidak kira miskin atau kaya, semua kaum Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak berhak mendapat pendidikan dan biasiswa.

Masalah utama dalam isu matrikulasi adalah tempat yang terhad bagi kaum bukan bumiputera tetapi ia boleh diatasi oleh kerajaan dengan cara menambah bilangan kemasukan pelajar ke program tersebut. Sebagai contoh, kerajaan telah menambah lorong jalan raya kerana kesesakan lalu lintas dan membelanjakan berbilion ringgit untuk projek-projek lain, Justeru, kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk berbelanja bagi pembangunan modal insan khususnya bagi menyediakan peluang pendidikan buat rakyat.

Begitupun, kerajaan boleh mengambil pendekatan jangka pendek bagi mengatasi masalah tempat yang terhad dalam matrikulasi iaitu dengan mengenakan bayaran yuran yang lebih bagi pelajar dari golongan berpendapatan tinggi (T20) berbanding pelajar dari golongan berpendapatan sederhana (M40) dan berpendapatan rendah (B40). Strategi dan dasar ini dilihat mampu membantu pergaulan antara pelajar T20 dengan M40 dan B40. Nisbah kemasukan pelajar pula perlu difokuskan kepada golongan B40 memandangkan pelajar dari golongan T20 boleh melanjutkan pengajian di institusi pendidikan berbayar kerana mereka berkemampuan.

Lebih baik golongan T20 membiayai pendidikan anak-anak mereka daripada membina rumah seperti mahligai, membeli kereta mewah dengan banyak dan melancong ke luar negara. Harga tiket kapal terbang bagi kelas perniagaan untuk pergi balik ke London sudah boleh membiayai kos pembelajaran anak-anak mereka di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPS) selama beberapa tahun. Fikir lah dengan minda terbuka. Anak-anak dari keluarga miskin wajib diutamakan dalam bidang pendidikan agar tiada yang tercicir memandangkan ia adalah hak yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan untuk kaum Melayu dan bumiputera. - UTUSAN ONLINE