Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri, Asmirul Anuar Aris berkata, papan maklumat tersebut diturunkan pihaknya kira-kira pukul 2 petang tadi.

Menurutnya, kerajaan negeri mahupun beliau sendiri tidak pernah mengiktiraf askar Jepun sebagai wira seperti didakwa sesetengah pihak dan menjelaskan kekeliruan itu ekoran kesilapan teknikal pihak berkaitan.

“Perkataan ‘wira Jepun’ hanya kesilapan teknikal oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah dalam bahan promosi tugu itu kerana kita tidak akan sama sekali menyatakan askar Jepun sebagai wira.

“Sebelum ini saya ada meminta perkataan ‘no war’ atau antiperang diletakkan pada tempat itu bagi mempromosi nilai keharmonian dan keamanan, namun perkara itu tidak berlaku, malah jika mengikut perbincangan hanya landskap biasa untuk menandakan lokasi itu wujud tanpa apa-apa monumen.

“Justeru, kita mengambil keputusan untuk menurunkan papan maklumat di tugu tersebut hari ini dan akan dibina semula oleh pihak berkaitan dengan perkataan yang lebih tepat selepas ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Khamis lalu, Asmirul Anuar merasmikan Tugu Peringatan Askar Jepun anjuran Konsulat Jepun di Pulau Pinang, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah dan Lembaga Muzium Negeri Kedah di Jalan Raja, di sini.

Beliau berkata, tugu yang terletak di Perkarangan Pejabat Kementerian Pelancongan negeri itu sudah lama terbina di situ dan hanya dicantikkan semula menerusi pembiayaan pihak konsulat negara itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan itu menjelaskan, kehadirannya sebagai perasmi pada hari tersebut hanya daripada segi aspek pelancongan bagi mempromosi negeri ini kepada orang ramai.

“Walaupun saya hadir ke majlis itu, namun ia tidak bermakna saya atau kerajaan negeri bersetuju dengan perkataan yang digunakan untuk menggambarkan askar berkenaan pada tugu tersebut tetapi lebih kepada faktor pelancongan,” katanya. - UTUSAN ONLINE