Setiausaha Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, produk seperti ikan kering yang tidak berlabel dan dijual di pasar basah, pasar tani dan pasar malam kebiasaannya tidak dipantau tahap kebersihannya oleh mana-mana pihak.

Menurutnya, Cake sering menerima laporan daripada pengguna mengenai pempro­sesan makanan tidak bersih dan isu di Langkawi, semalam bukan kali pertama kerana ia sering berlaku terutamanya membabitkan produk makanan kampung seperti ikan kering.

“Produk ikan kering ini banyak diusahakan nelayan yang menjadi pendapatan tambahan selain sumber laut dan ada juga yang mengusahakannya secara komersial.

”Namun, melalui pemerhatian kami, tidak semua produk makanan ini tercemar dengan kejadian seperti ini. Malangnya, insiden ini mengakibatkan pengusaha ikan kering yang lain turut terjejas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai tahap kebersihan kawasan pempro­sesan ikan dan udang kering di Langkawi yang mendapat banyak aduan termasuk kes makanan tersebut dipijak oleh sekumpulan anjing.

Mohamad Yusrizal berkata, terdapat juga produk ikan kering yang dilabelkan dengan baik berserta sukatan dan mempunyai logo halal pada setiap bungkusan.

“Pengguna harus bijak dalam membuat pilihan bagi memastikan mereka mendapat makanan yang sihat dan selamat.

“Pihak kami juga berharap supaya pengguna yang menyedari perkara ini melaporkan kepada pihak berkuasa agar tindakan sewajarnya dapat diambil selain tidak menjejaskan pengusaha lain,” katanya.