Pangkalan itu turut diperkukuh­kan dengan kehadiran semula skuadron pesawat tempur jenis Hawk di Pangkalan TUDM Labuan dan penambahan dua batalion tentera di Tawau termasuk kereta perisai jenis Gempita 8x8.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pangkalan hadapan yang dibina di atas pelantar minyak terpakai milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) itu akan memperkukuhkan sistem pertahanan negara di pantai timur Sabah.

Katanya, selain itu, pesawat tanpa pemandu (UAV), bot-bot ronda dan sistem radar yang ditempatkan di situ juga akan sentiasa memantau sempadan perairan negara.

“Kita yakin dengan kelengkapan ini dengan dibantu aset-aset dari negara jiran seperti Brunei dan Filipina, kita dapat meningkatkan tahap keselamatan di Sabah,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin menjelaskan, pihaknya masih di peringkat perbincangan dengan kementerian terlibat bagi menggantikan pesawat MIG-29 yang akan ditamatkan perkhidmatannya penghujung tahun ini.

“Kerajaan masih mencari formula terbaik bagi mendapatkan pengganti MIG-29.

“Meskipun demikian kita masih mempunyai pesawat tempur lain iaitu Sukhoi untuk menjaga kedaulatan negara,” jelasnya.

Sementara itu, menyentuh mengenai penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 yang memasuki hari kedua hari ini, beliau berpuas hati dengan perjalanan acara tersebut.

Katanya, seramai lebih 16,000 pengunjung perdagangan telah hadir ke acara tersebut pada hari pertama.

“LIMA 2015 berjaya mengumpulkan pelbagai negara, syarikat penerbangan dunia, penyedia perkhidmatan industri pertahanan dan pakar-pakar keselamatan,” ujar beliau.