Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, selain PAN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ditunjangi beberapa bekas pemimpin UMNO juga bakal menjadi alat tunggangan DAP untuk tujuan sama.

Menurutnya, kedua-dua parti tersebut yang merupakan serpihan Pas dan UMNO dilihat akan terus dijadikan alat untuk menghalalkan agenda penguasaan politik DAP yang lebih dominan.

Katanya, oleh kerana tidak sependapat mengenai beberapa perkara, DAP bijak mencatur rancangan politik dengan menjadikan PAN sebagai rakan strategik proksi politiknya sehingga mendorong berlaku perpecahan dalam Pas.

“Begitu juga PPBM, terbukti sepanjang lebih 20 tahun Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, DAP khususnya pemimpin de facto, Lim Kit Siang antara paling lantang menentang apa sahaja dasar yang diperjuangkan oleh Dr. Mahathir.

“Namun, kini segalanya berubah apabila setiap pergerakan mahupun perencanaan politik PPBM disokong DAP secara bermuka-muka dengan matlamat menjadikan parti-parti serpihan ini sebagai tunggangan bagi merealisasikan matlamat politik DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penerangan dan Pemantapan Ilmu Pejuang Melayu di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin di sini malam tadi.

Yang turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gombak, Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang juga Setiausaha Agung Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).

Menurut Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, sejarah telah membuktikan yang konsep pecah dan perintah diamalkan DAP selama ini telah berjaya memecahbelahkan orang Melayu kepada beberapa kumpulan sehinggakan dominasi politik kaum majoriti di Malaysia itu semakin terhakis.

“Sebab itu saya mengajak kita semua menghayati surah al-Imran sebagaimana firman Allah bermaksud: Janganlah kamu bersifat lemah sehingga berpecah belah, janganlah pula bersedih hati, padahal kamulah orang paling tinggi darjatnya jika kamu orang yang beriman.

“Hanya dengan kesedaran tinggi, mengakui kelemahan dihadapi selama ini, orang Melayu boleh bangkit dan bersatu melindungi segala kepentingan agama, nusa serta bangsa kerana perpecahan yang berpanjangan memungkinkan kita terpinggir di bumi sendiri,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE