Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, PAC tidak akan melengah-lengahkan masa lagi untuk memanggil dua saksi itu selepas berlakunya kekeliruan berhubung surat yang dihantar pada 6 Mei lepas kepada mereka melalui Kementerian Kewangan.

"Jangan bimbang, mereka akan hadir (beri keterangan), mereka sudah buat kenyataan terbuka bahawa mereka akan hadir.

"Kami pun tidak mahu melengahkan prosedur ini, kami akan panggil kedua-dua mereka segera, tidak mahu ada lagi kelewatan, kekeliruan yang timbul antara Kementerian Kewangan dan dua saksi tersebut menyebabkan sedikit masalah kepada kami," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai kanan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) di Parlimen hari ini.

Menjelaskan isu itu, Nur Jazlan berkata PAC telah menghantar surat kepada Kementerian Kewangan untuk memanggil Arul Kanda dan Shahrol pada 6 Mei lepas untuk memberi keterangan kepada PAC pada 26 Mei.

"Kami menghantar pemakluman surat tersebut pada 6 Mei lepas, kami bagi masa kepada mereka lebih dua minggu sebelum mereka datang memberi keterangan.

"Isu sama ada Arul dapat pemakluman surat tersebut cepat atau lambat, itu bukan masalah PAC tapi kita memang tidak hantar surat tersebut secara terus kepada mereka, sebaliknya melalui Kementerian Kewangan," katanya.

Semalam, 1MDB berkata mereka membalas surat PAC pada 21 Mei, hari sama surat itu diterima dari Kementerian Kewangan.

Nur Jazlan berkata PAC turut menghantar surat kepada Kementerian Kewangan pada 25 Mei lepas bagi memanggil dua firma yang mengaudit 1MDB, iaitu Firma Deloitte (amp) Co dijadual bertemu PAC pada 10 Jun sementara firma KPMG pula dijadual hadir pada 17 Jun.

Dalam pada itu, Nur Jazlan meminta semua pihak memberi masa kepada pihaknya untuk membuat siasatan berhubung 1MDB.

"Semua orang nak kami selesaikan isu ini cepat, tapi benda ini kami kena buat satu demi satu, kalau kami keluarkan satu keputusan yang tidak boleh puaskan hati sesetengah pihak, mereka akan salahkan PAC," katanya.

Dalam pada itu, Nur Jazlan memberitahu bahawa PAC hari ini memanggil CEO FELCRA,Datuk Ramlee Abu Bakar, Pengurus Besar Pelaburan FELCRA Adnan Yusof dan bekas CEO FELCRA Datuk Juzilman Basir bagi meneruskan prosiding yang dijalankan pada November 2014.

Prosiding itu adalah mengenai bayaran sagu hati sebanyak RM723,000 kepada anggota Lembaga Pengarah FELCRA sejak 2010 didapati tidak mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

"Prosiding tadi kami tanya mengenai isu pembayaran 'in-kind' (bukan tunai) yang telah diberikan atau diluluskan oleh Lembaga Pengarah FELCRA untuk 2010 hingga 2012," katanya.- BERNAMA