Menerusi teknologi 'artificial intelligence' yang dibangunkan menggunakan sistem IBM itu, sebanyak 767 buah CCTV yang dipasang di kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dipertingkatkan dengan teknologi pengecaman wajah tersebut.

Teknologi itu yang pertama digunakan di negara ini mampu mengesan wajah penjenayah atau orang yang dikehendaki dan beroperasi sepenuhnya di bilik gerakan ibu pejabat polis kontinjen negeri.

Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, teknologi yang dibangunkan sejak 2008 dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu membabitkan kos sebanyak RM46.2 juta.

Katanya, usaha itu merupakan langkah berterusan kerajaan negeri dalam bersama-sama pihak berkuasa melindungi keselamatan orang awam seterusnya mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.

"Kita berharap pemasangan CCTV dengan teknologi pengesanan wajah ini dapat ditambah sehingga kepada 3,000 unit dari semasa ke semasa ke arah pencegahan jenayah yang lebih baik.

"Selain itu, kita juga berharap CCTV ini juga dapat ditambah baik dan dipertingkatkan dengan pelbagai fungsi lain pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran CCTV yang dilengkapkan dengan teknologi pengecaman wajah itu di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang dan Ketua Polis negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan.

Ketika ini, secara keseluruhannya terdapat sebanyak 897 buah CCTV di pasang di seluruh negeri ini termasuk 130 di kawasan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Sementara itu, Thaiveegan berkata, teknologi pengesanan wajah pada CCTV tersebut secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan kecekapan polis dalam mencegah dan menyelesaikan kes jenayah.

"Sebagai contoh dalam kes ragut misalnya, kita mungkin tidak dapat menangkap penjenayah ketika kejadian berlaku.

"Tetapi dengan teknologi ini, kita dapat mengecam suspek dengan jelas dan usaha memburunya juga menjadi lebih mudah," katanya.

Tambah beliau, teknologi pengecaman wajah itu juga membolehkan polis negeri ini membantu negeri-negeri lain menyelesaikan kes jenayah dengan maklumat wajah suspek yang dikongsi bersama. - UTUSAN ONLINE