Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Dr. Amar Pritpal Abdullah berkata, sebanyak 80 peratus muka baharu khususnya dalam kalangan pengurusan pasukan akan ditampilkan bagi membimbing skuad Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia negeri itu.

Beliau berkata, antaranya ialah beberapa nama besar seperti Ahmad Yusoff yang akan mengendalikan skuad Liga Perdana dengan dibantu bekas pemain Harimau Kumbang, Manzoor Azwira Abd. Wahid serta pengurus pasukan, Ong Eng Hua.

Katanya, skuad Piala Belia pula akan dilatih oleh Hasbul Hasani manakala calon ketua jurulatih untuk skuad Piala Presiden masih belum ditentukan setakat ini.

"Sesi pemilihan pemain secara terbuka juga akan bermula lebih awal iaitu 9 hingga 15 Oktober ini di Padang Polo iaitu dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

"Kita yakin barisan yang baharu dibentuk ini terutama untuk skuad Liga Perdana mampu mencapai sasaran untuk sekurang-kurangnya menduduki lima tangga teratas liga," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Yang hadir sama Timbalan Presiden FAP, Datuk Abdul Rashid Ismail.

Dalam perkembangan berasingan, Amar Pritpal sekali lagi mengulangi janjinya untuk melunaskan segala tunggakan gaji pemain sebelum bermula musim baharu.

"Pada masa sama, kerajaan negeri juga telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyalurkan peruntukan awal sebanyak RM5 juta setahun bagi membiayai ketiga-tiga pasukan.

"Kita berharap dapat mencari dana tambahan sekurang-kurangnya RM3 juta lagi untuk memperkukuhkan pasukan negeri," ujarnya.-UTUSAN ONLINE