Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, walaupun barisan baharu itu merupakan ahli politik tetapi mereka bukan ‘orang politik’ seperti dahulu yang wujud atas kepentingan politik semata-mata.

“Mereka ini membawa pemikiran Pakatan Harapan (PH), kita perlu orang yang ada pemikiran PH tetapi mempunyai latar belakang aktivis dalam pelbagai bidang.

“Mungkin mereka dilihat sebagai orang politik sebab ada posisi dalam parti politik tetapi fikrah atau pemikiran PH amat penting. Ia tidak sama seperti dahulu meletak wakil kepada satu-satu parti tetapi tidak mempunyai latar belakang NGO,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Murid-murid Miskin sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tanah Puteh, di sini hari ini.

Beliau mengulas pelantikan beberapa Ahli Lembaga Peme­gang Amanah Yadim dalam kalangan ahli politik termasuk calon pilihan raya umum dari Parti Amanah Negara (Amanah), Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai Yang Dipertua Yadim sementara Pengarah Hal Ehwal Syariah Ama­nah, Zolkharnain Abidin pula merupakan Timbalan Yang Dipertua Yadim.

Kira-kira 10 ahli lembaga pemegang amanah lantikan politik termasuk Ahli Dewan Unda­ngan Negeri Paloh, Sheikh Omar Ali yang merupakan ahli DAP.

Menurut Fuziah, perkara yang lebih penting dalam isu pelantikan tersebut ialah penga­laman mereka selama berpuluh-puluh tahun dalam NGO yang boleh memberi sumbangan besar kepada usaha membangunkan Yadim.

“Kebetulan mereka daripada latar belakang politik, itu pen­ting juga dari segi memastikan arah dan halu tuju PH dibawa bersama. Namun peranan me­reka sebagai aktivis itu lebih besar,” katanya.