Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengingatkan bahawa mereka yang mengulas isu berkenaan iaitu hampir setiap hari, tidak berada dalam mesyuarat merangka formula tempoh peralihan PM.

Beliau menarik perhatian bahawa satu formula yang dicapai sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah pun dicapai berhubung perkara itu secara konsensus antara kepimpinan empat komponen parti di dalam PH dan sudah memadai.

"Konsensus telah dicapai dan formula (tempoh peralihan PM) ini disepakati oleh empat komponen parti sebagai tawaran PH kepada rakyat sebelum pilihan raya (PRU-14).

"Saya sendiri terlibat dalam merangka formula itu. Dalam kalangan mereka yang diam ini (tidak memberi kenyataan) adalah yang terlibat secara langsung dalam membina formula ini.

"Tetapi yang banyak bercakap adalah mereka yang berada 'di luar kelambu'," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja beliau ke Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi dan Pengurus Besar Nafas, Ahmad Shaari.

Saifuddin seterusnya meminta semua pihak memberi ruang kepada PH untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Kata beliau, sekiranya isu tempoh peralihan jawatan PM itu 'dikitar semula' pada setiap hari akan menyebabkan rakyat menjadi meluat.

"Tidak guna kita membincangkan perkara yang sudah pun disepakati sebelum ini. Beri ruang kepada PH termasuk PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad sesuai dengan mandat diberikan sebagai kerajaan," katanya. - UTUSAN ONLINE