Selain kekurangan dari segi infrastruktur, mereka juga terpaksa bersaing dengan warga asing untuk mencari rezeki.


Bagi belia Orang Asli kampung itu, mereka sudah lama bersabar dengan hal sedemikian dan merasakan ibarat dianak-tirikan apabila bayaran gaji kepada mereka oleh pengusaha pertanian lebih murah daripada buruh asing selain diskriminasi pekerjaan.


Bercakap kepada Bernama, Tok Batin Kampung Sungai Getan, Ahmad Bah Nanggung, 58, berkata perkara itu sering disuarakan kepada pihak berkaitan namun usaha itu ibarat mencurahkan air ke daun keladi.


Walau sekadar memohon jadi pemandu lori, katanya, pemilik ladang didapati lebih suka mengupah pekerja asing dan mereka bagaikan memandang sebelah mata akan keupayaan Orang Asli.


“Anak muda sini ramai yang ada lesen. Tapi bila nak (mohon) jadi pemandu Hilux semua Bangladesh, Nepal yang sapu (ambil) . Mereka semua mana ada lesen? 


"Kami yang duduk di sini bertahun-tahun tapi apa yang kami dapat? Tiada apa. Bila kerja kebun upah RM30, kalau minta upah lebih tauke kata mahal, dia tak nak ambil Orang Asli bekerja," katanya.


Wak Noridah Amin, 46, penduduk dari Kampung Sungai Getan pula berkata; "mana hak kami yang sepatutnya? Pesaing-pesaingnya pun pendatang asing dan gaji mereka lagi besar, tapi gaji untuk anak kita murah dia bagi."


Sementara itu, kerja menaik taraf jalan ke Pos Terisu sepanjang lapan kilometer dilihat rancak, namun tidak semua bahagian jalan terlibat.


Bah Nanggung mendakwa kerja-kerja itu terhalang disebabkan pekebun sayur dan bunga yang mengusahakan tanah sepanjang kiri serta kanan jalan simen yang sempit itu.


"Jalan ini telah dinaiktaraf daripada jalan tanah kepada simen kira-kira 10 tahun lepas. Tetapi usaha naik taraf ada sahaja halangan memandangkan pekebun tidak memberi jalan mudah kepada Jabatan Kerja Raya. Selalu ada gangguan dan tuntutan yang tak munasabah," katanya.


Tidak hanya melibatkan masalah itu, masalah pampasan pokok durian ditebang kontraktor syarikat telekomunikasi yang sepatutnya diterima Orang Asli juga tiada jawapan. 


Bagi Tok Batin Pos Terisu 3, Jaafar Moh, 47, pampasan berhubung ambil alih tanah untuk tujuan pembinaan pencawang di tanah adat mereka telah berlarutan sejak 2013, namun masih belum diselesaikan.


"Sepatutnya pokok durian berusia lima hingga enam tahun yang dalam perjanjian dibayar antara RM400 hingga RM500 sebatang, manakala pokok yang lebih tua dibayar lebih murah iaitu RM150 sebatang sampai sekarang belum bayar lagi . Orang kampung dah complain," katanya.


Setelah bersabar dengan dugaan yang dihadapi selama ini, masyarakat Orang Asli Pos Terisu mahukan calon yang diberi mandat dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands nanti membawa satu lembaran baharu dalam kehidupan mereka. 


Pos Terisu yang terdiri seramai 351 pemilih berdaftar dari beberapa kampung Orang Asli adalah Bahagian Pilihan Raya di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata dalam Parlimen Cameron Highlands.


PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon PH, M Manogaran; calon BN, Ramli Mohd Noor; serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee. - BERNAMA