Begitu reaksi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad terhadap dakwaan Orang Asli suku Temiar di Gua Musang diugut pegawai kesihatan kerajaan.

Namun, beliau bersikap terbuka untuk menerima bukti daripada mana-mana pihak yang membuat dakwaan tersebut.

"Itu perkara yang didakwa dan ia perlu dibuktikan. Saya masih tidak boleh bertindak atas dakwaan seperti itu. Ia perlu dibuktikan.

"Saya rasa pelik kalau ada yang ugut seperti itu. Luar dari apa yang boleh saya bayangkan.

"Ada yang tidak kena bagi saya. Perkara ini tidak munasabah tapi itulah, ada yang dakwa, tampil dengan bukti," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Sebuah portal mendedahkan Orang Asli di Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan diugut untuk menerima suntikan perancang keluarga, semalam.

Menurut portal itu, kakitangan Kementerian Kesihatan yang datang ke perkampungan Orang Asli dengan klinik bergerak berjanji untuk memperbaiki kesihatan komuniti itu namun mereka menerima kesan yang sebaliknya.

Antara kesan sampingan dialami golongan wanita yang menerima suntikan atau mengambil pil untuk program perancangan keluarga itu adalah kenaikan mendadak berat badan.

Menurut wakil Orang Asli di situ, program itu sudah berlanjutan sejak 2014. - UTUSAN ONLINE