Bertindak hasil maklumat orang awam serta risikan yang dibuat, operasi selama lima jam bermula pukul 2 petang itu disertai 10 pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Perak.

Sewaktu serbuan dibuat, terdapat seorang lelaki warga Pakistan berusia 25 tahun cuba melarikan diri dan nekad terjun dari tingkat empat sebuah kediaman di sini sehingga menyebabkan pergelangan kaki kirinya patah.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, sebanyak 70 individu telah diperiksa terdiri daripada pelbagai warganegara.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 21 orang telah ditahan melibatkan lima lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki dan empat wanita warga Indonesia, dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar serta lapan lelaki warga Pakistan.

"Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan antara 21 hingga 52 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati mereka telah melakukan kesalahan di bawah

Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal lebih masa di negara ini, justeru ditahan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya. - UTUSAN ONLINE