Kebanyakan penduduk menyifatkan KPTM-Kesedar yang telah beroperasi sejak lapan tahun lalu itu merupakan peluang terbaik bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan selatan negeri ini seperti Gua Musang, Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai untuk melanjutkan pengajian.

Seorang penduduk, Ahmad Azhar Sulaiman, 40, berkata, khabar itu boleh disifatkan satu kerugian besar kerana kolej tersebut satu-satunya pusat pengajian tinggi yang ada di daerah ini.

Katanya, peluang melanjutkan pengajian di kolej itu bukan sahaja terbuka kepada anak Gua Musang, tetapi juga dari daerah berhampiran termasuk dari negeri jiran.

“Saya selaku penduduk tempatan cukup sedih apabila mercu tanda pendidikan di daerah ini bakal ditamatkan operasinya selepas dikatakan menanggung kerugian operasi disebabkan kekurangan pelajar.

“Kami diberitahu ini bulan terakhir KPTM-Kesedar beroperasi kerana pengambilan pelajar baru sudah tidak dibuka serta baki pelajar sedia ada akan dipindahkan ke tempat lain,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Hadi Mohd. Ali, 35, pula berkata, penutupan KPTM-Kesedar itu juga membawa kerugian kepada para peniaga yang mencari sumber rezeki di sekitar kolej terbabit.

“Kita harap pihak Mara mengkaji semula cadangan penutupan KPTM-Kesedar Gua Musang demi kepentingan masa depan pendidikan pelajar luar bandar,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Ariffin turut terkilan dengan berita penutupan pusat pengajian itu kerana Gua Musang bakal kehilangan peluang untuk menjadi hub pendidikan di kawasan Kelantan Selatan.

“Difahamkan seramai 187 pelajar yang berada dalam semester 3 hingga 5 kampus itu diarahkan untuk melapor diri di kampus KPTM Kuantan dan Kota Bharu selepas ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE