RAZARUDIN HUSAIN
RAZARUDIN HUSAIN 

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, keputusan itu diambil setelah tiada petunjuk baharu diperoleh pasukan penyelamat dan siasatan di luar konteks operasi bagi membolehkan mangsa dikesan selepas 25 hari usaha pencarian.

Katanya, mangsa masih gagal ditemui walaupun operasi mencarinya menggunakan pelbagai kaedah terkini dan pasukan berpengalaman selain kawasan pencarian diperluaskan dari 35 kepada 48 kilometer persegi telah dilaksanakan.

“Operasi ditangguhkan sementara bagi membolehkan pasukan penyelamat merangka strategi lain yang mungkin boleh membantu mengesan mangsa berdasarkan kepada pengalaman kes yang pernah berlaku sebelum ini.

“Selain itu, ia juga bagi memberi peluang kepada keluarga mangsa untuk bertenang dan memikirkan alternatif lain untuk mencari mangsa sekali gus mengelakkan mereka menjadi sasaran kenyataan tidak benar daripada masyarakat,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut Razarudin, penutupan sementara operasi pencarian itu juga bagi mengehadkan pergerakan pencarian dalam kalangan orang ramai di kawasan terlibat yang dikhuatiri akan mengganggu sensitiviti masyarakat setempat.

Pada masa sama juga katanya, ia memberi ruang kepada penduduk untuk melaksanakan tindakan mengesan mangsa dalam konteks setempat.

“Operasi mencari mangsa peringkat pertama telah dimulakan sehari selepas mangsa dilaporkan hilang sebelum dihentikan pada 30 Mac lalu. Bagaimanapun dalam usaha meneruskan pencarian, SAR peringkat kedua telah dijalankan namun sehingga kini masih tidak menemui petunjuk baharu bagi merungkai kehilangan mangsa,” katanya.

Dalam kejadian pada 23 Mac lalu itu, Mohammad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer disedari hilang selepas tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas pertandingan itu. - UTUSAN ONLINE